Assalamualaikum wbt…
Pertamanya saya ingin memperkatakan mengenai ketiadaan silibus modul pengajian Islam bagi pelajar semester 5 dan 6 di pusat pengajian politeknik. Sebenarnya saya agak kesal dan terkilan mengapa modul ini hanya ada pada semester 1 hingga 4 sahaja. Adakah setelah menjadi senior, pelajar sudah hebat di dalam mengatur dan mempraktikkan ilmu agama di dada mereka? Kalau hendak diharapkan pelajar sendiri bergerak mendalami ilmu agama, saya yakin memang tiada yang mampu mengendong sendiri. Hendak timba ilmu agama pula terpaksa tuntut dari pensyarah ataupun di masjid ketika adanya kuliah maghrib dan tazkirah. Ini tidak seharusnya berlaku. Sepatutnya modul pengajian Islam perlu diteruskan selama mana pelajar masih menjadi penuntut di politeknik. Saya tidak pasti bagaimana pula kisahnya dengan pusat pengajian tinggi awam mahupun swasta yang lain ,adakah mereka mempelajari modul ini ataupun sama sahaja seperti yang dialami di politeknik. Saya mengatakan begini kerana saya akan memasuki semester 5 pada kemasukan sesi jun 2010 ini. Sudut pembelajaran yang saya perhatikan di politeknik (semester 1- pengajian Islam 1, semester 2- pengajian Islam 2 dan semester 3 & 4- tamadun Islam) masih tidak mencukupi dalam mengimbangi ilmu dunia dan juga akhirat. Dengan disebabkan tiada penekanan aspek pengajian modul ini, maka pelajar-pelajar hanya disibukkan dengan kerja-kerja yang menjurus pada jurusan mereka tanpa ada lagi pengisian rohani seperti mengaji, menghafaz surah, taranum dan sebagainya seperti yang mereka lakukan ketika berada pada tahun pertama dan kedua. Tambahan pula sekarang ini permasalahan gejala sosial yang semakin melebar di kalangan mahasiswa dan mahasiswi terutamanya pada pelajar tahun akhir sangat membimbangkan. Saya juga merupakan ahli di dalam organisasi Pusat Islam selalu melihat hal-hal percampuran dan pergaulan antara lelaki dan perempuan tidak kira dalam situasi berdua-duaan atau secara berkumpulan duduk di kafeteria atau tempat-tempat terbuka sambil bergelak ketawa dan paling menyayatkan, tanpa segan silu bertepuk tampar lelaki dan perempuan di khalayak ramai. Ini akan menunjukkan tingkahlaku yang tidak sihat dan akan membawa pengaruh kepada adik-adik khususnya pelajar junior untuk mengikut cara mereka. Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Ibaratnya pelajar junior ini seperti tanaman. Jikalau pelajar senior menabur benih hijau, maka hijaulah warnanya, kalau melempar warna hitam, maka hitamlah rupanya. Sedangkan pelajar senior adalah rolemodel yang patut dijadikan simbolik dan menunjuki adik-adik. Kalau diimbas kembali sikap pelajar senior ketika menjadi junior, kelakuan mereka ibarat ’pijak semut pun tidak mati’ kerana mungkin salah satu faktor adanya silibus pengajian Islam tadi menjadikan mereka seperti ’manusia’. Tambahan lagi, ada pemarkahan dari sudut akhlak akan dinilai pensyarah agama mereka. Jadi, para pelajar ini akan menunjukkan sikap yang melambangkan budaya dan menjaga batas pergaulan mereka. Saya tidak menyalahkan pihak yang terbabit sepenuhnya kerana itu hanya salah satu faktor penyebab pelajar menjadi liar dengan masalah sosial akibat tiada penekanan aspek pendidikan Islam. Selebihnya itu adalah datang dari sikap pelajar itu sendiri. Ini antara yang saya dapat simpulkan berdasarkan pemerhatian saya.
wallahua'alam.

No comments:
Post a Comment