as-salam muqadimatul qalam...
Saya berasa terpanggil untuk menulis di ruangan ini kerana terkilan dengan sikap masyarakat pada zaman sekarang ini .
kalau diamati semula, kita akan lihat betapa besarnya sanjungan dan pengaruh artis daripada alim ulama', sedangkan mereka (artis) tidak mendatang apa-apa manfaat pada kita. teringat kata-kata Wardina Safiyyah dalam satu rancangan di televisyen, "artis kita ini tidak layak dijadikan ikon". lihatlah sekarang dengan 'kebanjiran' anak-anak muda yang mahu jadi artis. Bukan nak berlumba-lumba jadi pendakwah atau para daie..nauzubillah.. lebih memilukan, kalau ada berita mengenai pemergian artis, medialah orang pertama yang akan berlumba-lumba membuat liputan. bukan sehari saja, malah berhari-hari berita itu dikeluarkan. Terpampang di semua dada akhbar dan stesen radio membuat pengumuman rasmi disertai tangisan setiap warga seni serta peminat berkenaan permata dalam bidang seni yang kononnya sukar dicari ganti.
Sedangkan, siapa peduli walaupun seorang bekas mufti atau ulama' meninggal dunia? Siapalah mufti atau ulamak di mata masyarakat kita?
kalau diuar-uarkan pun, hanya satu keratan di sudut kecil akhbar melaporkan kehilangan tokoh ini seolah-olah ia satu laporan biasa. malah, jika ditanya muda-mudi sekarang, berapa ramai sangat yang masih mengingati nama-nama mereka?
Ulamak dimatikan, ilmu berkurangan
Dalam nas hadis, banyak ditemukan petanda yang menyebut bahawa salah satu tanda-tanda hampirnya kiamat ialah ilmu akan hilang dan kejahilan meluas. Bagaimanakah ilmu boleh hilang? Antara cara ilmu itu hilang atau diangkat oleh Allah ialah dengan cara mematikan ulama' yang bijak pandai.
Ilmu matematik, ilmu alam dan segala ilmu lain yang tercipta atas kepandaian manusia tidak akan hilang. Yang akan hilang adalah ilmu agama. Ilmu yang melibatkan hukum-hakam, cara hidup ciptaan Allah, fardhu 'ain dan ilmu al-Quran yang hanya sebilangan kecil saja manusia yang menguasainya. Hanya golongan ulama' sahaja yang menguasai ilmu ini.
Apabila matinya seorang ulama', maka pergilah ilmu itu dan kepandaian yang dipelajarinya bersama jasadnya. Golongan yang tinggal ini, jika tidak menguasai ilmunya kini hilang tempat rujukan, maka jalan ke arah kejahilan mula tampak.
Apabila tiada tempat rujukan maka kejahilan mula berleluasa. Hukum-hakam ditafsir secara membuta tuli dan sebagainya. Itulah antara cara bagaimana Allah mengangkat ilmu, iaitu dengan cara mematikan para ulama'.
Tidakkah ini satu tanda jelas pengakhiran dunia? Siapa sedar akan hakikat ini? Atas dasar itulah tiada yang menangisi pemergian ulama' sedangkan berapa ramai yang kelam-kabut dengan pemergian seorang insan seni?
Tanyalah anak-anak kita, sahabat-sahabat kita, jiran-jiran kita dan saudara mara kita hari ini dan kita akan dapati hampir semuanya arif tentang artis, bila tarikh lahirnya, siapa pasangannya, apa saja biodata artis pastinya mereka tahu. Tapi, berapa ramai anak-anak kita tahu tentang ulama'? Kitab apa dan ilmu apa yang didalami ulama' tersebut?
Ketahuilah saudaraku, bahawa antara tanda kiamat itu adalah apabila masyarakat mula memuja-muja artis..celakalah bagi mereka yang memuja-muja artis dan meminggirkan ulama' pewaris nabi...
Wallahu'alam...
